Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Erra Fazira dan Ziana dah Setuju, Takkan Saya Nak Tolak…?” - Awie

“erra fazira dan ziana dah setuju, takkan saya nak tolak…?” - awieFoto: Harian Metro

Gabungan tiga figura ikonik industri hiburan tanah air iaitu Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka sepakat untuk berganding bahu dalam konsert Sembilu The Reunion yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Februari tahun hadapan.

Advertisement

Menurut Awie, keputusan untuk menyertai konsert berkenaan dibuat tanpa banyak berfikir selepas dimaklumkan dua rakan selebritinya itu sudah memberi persetujuan.

“Bila penganjur beritahu Erra dan Ziana dah setuju, takkan saya nak kata tidak pula,” katanya sekali gus menggambarkan keserasian dan rasa hormat antara mereka yang sudah lama terjalin sejak era kegemilangan filem Sembilu.

Idea penganjuran konsert tersebut dicetuskan oleh pereka fesyen, Ezuwan Ismail yang melihat potensi besar untuk menghidupkan semula nostalgia karya ikonik itu.

Ezuwan mengakui pada awalnya dia berasa bimbang untuk mendapatkan persetujuan ketiga-tiga bintang berkenaan, namun tekadnya kuat.

“Allah permudahkan urusan saya memujuk mereka. Walaupun pada mulanya rasa gusar, saya nekad untuk dapatkan mereka bertiga,” katanya.

Ziana Zain pula menjelaskan bahawa persetujuannya dibuat selepas mengambil kira beberapa aspek penting termasuk kualiti penganjuran.

“Saya tanya tentang konsep, pemuzik, sistem bunyi dan pencahayaan. Bila semuanya jelas, barulah saya rasa yakin,” ujarnya.

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by IDEATELIER (@ideatelier.co)

 

Ziana turut berharap konsert itu mampu menarik peminat lama serta generasi baharu yang mengenali Sembilu melalui cerita orang terdahulu.

Bagi Erra Fazira, penyertaan dalam konsert ini disifatkan sebagai peluang istimewa untuk kembali ke pentas besar bersama rakan seperjuangan.

Beliau sebelum ini pernah menyatakan belum bersedia mengadakan konsert solo, namun menyifatkan kemunculan bersama Awie dan Ziana sebagai sesuatu yang bermakna dan dekat di hati. Erra juga melihat konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong mereka sejak dahulu.

Konsert Sembilu The Reunion dijangka bukan sekadar mengimbau kenangan era 90-an, tetapi turut menampilkan elemen persembahan segar yang menggabungkan nostalgia dan sentuhan moden, sekali gus menjadikan ia antara acara yang dinanti-nantikan peminat hiburan tempatan.

Tiket untuk konsert Sembilu mula dijual pada 8 Disember bermula dengan RM149 (Pasrah), RM249 (Tragedi Oktober), RM289 (Halaman Asmara), RM349 (Cinta Abadi), RM489 (Anggapanmu), RM689 (Di Ambang Wati) dan RM1389 (Sembilu).

SINAR Today's Best Music